Budaya Masyarakat Arab

Memahami budaya masyarakat Arab akan memudahkan pembelajaran bahasa Arab. Di sini, diberikan beberapa contoh bagi menggambarkan pengaruh budaya amat penting dalam pembelajaran bahasa Arab iaitu:

1. Penggunaan isyarat dalam menyampaikan sesuatu maksud adalah berbeza mengikut budaya masyarakat. Dalam masyarakat Melayu 'menggeleng kepala ' dari kiri ke kanan dan kanan ke kiri itu menunjukkan kepada maksud 'tidak mahu'. Akan tetapi dalam masyarakat Arab, sekiranya dibuat demikian, mereka tidak akan memahaminya, kerana kebiasaan dalam masyarakat mereka, bagi menunjukkan maksud 'tidak mahu' , mereka menggunakan isyarat bunyi pada lidah dan diikuti mendongak kepala sedikit ke atas. Justeru, tanpa memahami budaya mereka, kita tidak akan mengetahui maksud yang hendak disampaikan oleh mereka.

2. Ucapan terima kasih yang dituturkan sebagai suatu ucapan penghargaan terhadap sesuatu pertolongan yang diterima. Biasanya sekiranya seseorang pelajar itu tidak memahami budaya masyarakat Arab dengan baik, mereka hanyalah akan mengucapkan perkataan 'syukran' bagi menandakan ucapan terima kasih. Namun, dalam masyarakat Arab itu sendiri, mereka sering menggunakan perkataan lain bagi menunjukkan tanda terima kasih iaitu 'barakallahu fik'.

Perkataan ini bukan sahaja menunjukkan ucapan terima kasih, bahkan penuturnya itu dalam masa yang sama mendoakan agar Allah memberkati rakannya. Selain daripada itu, perkataan yang biasanya digunakan dalam mengungkapkan ucapan terima kasih ialah 'jazakallahu khairan kathira' yang bermaksud 'moga Allah mengurniakan kebaikan yang banyak kepadamu'.

3. Kebiasaannya dalam masyarakat Arab, apabila mereka meletakkan tangan kanan di atas kepala sambil berkata 'ala raksi', ini menunjukkan bahawa mereka bersedia memberikan apa jua pertolongan yang diminta. Namun sekiranya seseorang itu tidak memahami budaya mereka, maka sudah tentu mereka akan tercengang kehairanan kerana perkataan 'ala raksi' itu bermaksud 'atas kepala saya'.

4. Sesetengah budaya dalam masyarakat Arab (seperti masyarakat Arab Jordan) ketika hendak turun daripada teksi atau untuk meminta untuk diturunkan, perkataan hormat yang digunakan ialah 'allah yu'tika 'al'afiah' yang bermaksud 'moga Allah memberikan afiat padamu'. Apabila disebut sahaja perkataan ini, pemandu teksi sudah mengetahui tujuan penumpangnya iaitu meminta diturunkan di tempat itu. Justeru, tanpa mengetahui budaya mereka, agak sukar untuk difahami maksud daripada ucapan yang dipertuturkan oleh mereka.

5. Mengungkapkan pertanyaan 'apa khabar' atau dalam bahasa Arabnya 'kaifa ha luk' berkali-kali dalam satu pertemuan adalah perkara biasa dan ia merupakan tanda mengambil berat. Sekiranya seseorang itu tidak memahami budaya Arab, nescaya mereka akan memberikan tanggapan negatif kerana pertanyaan 'apa khabar' biasanya diungkapkan pada permulaan pertemuan sahaja, bukannya diungkapkan berkali-kali dalam satu pertemuan.

6. Memberikan minuman kopi setelah dihidang makanan yang lain adalah menunjukkan waktu untuk pulang. Budaya dalam masyarakat Arab ialah mereka akan memberikan minuman kopi yang sedikit dan pahit sebagai menu terakhir kepada tetamu yang berkunjung ke rumah mereka. Walaupun tuan rumah tidak mengungkapkan sebarang kata atau permintaan supaya tetamu pulang, akan tetapi dapatlah difahami melalui budaya mereka bahawa apabila kopi dihidangkan, ini bermakna sesuailah bagi tetamu untuk pulang ke rumah mereka kerana tiada lagi hidangan lain yang akan diberikan kepada mereka



kredit kepada ustaz shauqi

No comments: