Tak meLAYU lah kalau

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Bukan kerana aku berhenti makan cencaluk dan budu
Bukan kerana aku geli dengan tempoyak dan belacan
Aku sudah tidak berapa Melayu

Memang aku sudah kurang Melayu
Bukan kerana aku menggemar Rihanna dan Adele
Dan meluat dengan Amy, Awie dan KRU

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Bukan kerana sangat memilih Jebat derhaka
Bukan kerana sangat meninggal setia Tuah

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Bukan sebab aku bertutur i – you
Dan tidak lagi berengkau – aku

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Bukan lantaran aku perasan kelas punya teman bernama Jerald atau Marina
Atau sudah mengepit ipad dan tablet mundar mandir ke sana dan sini

Hei, aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Kerana nabi mengajarku, takjub bangsa
Walau sebesar zarah adalah sifat jahiliah

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Kerana nabi mengajarku, menjilat penguasa
Walau bukan dengan lidah adalah menjual maruah

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Kerana agamaku tidak membenarkanku membeza hitam putih hijau merah dan biru
Kerana kebaikan, ketakqwaan dan keadilan sebenar-benar menjadi ukuran

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Kerana Tuhanku mengajar dan berfirman insan ada pelbagai keyakinan
Dan kepercayaan itu bukan halangan untuk saling mengenal dan tidak berhubungan

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Kerana aku mahu belajar dari kerencaman
Agar tiap khazanah menyumbang kekayaan

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu
Semakin kurang melayuku semakin kental akidahku

Aku bangga tidak berapa melayu
Sudah memang itu tuntutan agamaku


- Faisal Tehrani

No comments: