12 Jul 2013

Hukum Tidur selepas Asar

Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya,maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah (Silsilah al Ahadith ad Dhaifah wa al Maudhu’ah – al Albani – hadis no. 39 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 5861). Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah didhaifkan oleh al Haithami (Majma’ al Zawaaid – al Haithami – hadis no. 8254)

Tambahan:

Terdapat satu kisah berkaitan persoalan tidur selepas waktu Asar. Seorang imam fiqh dan hadis yang masyhur, al Laith bin Saad (175H) pernah ditegur oleh salah seorang rakannya kerana beliau mendapati al Laith tidur selepas Asar pada bulan Ramadhan. Rakannya itu membacakan hadis yang telah disebutkan di atas tadi (riwayat Ibnu Adi dalam buku al Kamil) sebagai hujah untuk menegur al Laith. Apabila al Laith mendengar sanad hadis itu dibaca, maka beliau telah mengesan satu kecacatan dalam hadis tersebut iaitu terdapat periwayat bernama Abdullah bin Lahi’ah yang meriwayatkan hadis itu daripada periwayat bernama Aqil. Al Laith lalu berkata: “Aku tidak akan meninggalkan perkara yang bermanfaat kepada diriku ini (tidur selepas Asar) hanya kerana hadis yang diambil dari jalan Ibnu Lahi’ah dari Aqil”. Maksud al Laith ialah beliau tidak akan meninggalkan tidur selepas Asar yang bermanfaat baginya hanya kerana satu hadis yang tidak sahih (Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – al Albani – huraian bagi hadis no. 39)

Tiada ulasan: