26 Jun 2016

Tak Boleh Kritik Ustaz?

Tentang imam muda perli vaksin ini aku tak hairan. Sebab imam muda ini dia tak belajar perubatan. Jadi kebarangkalian untuk dia memerli tanpa merujuk kepada fakta-fakta perubatan adalah besar.

Yang aku hairan ialah ramai yang acah-acah hairan terhadap imam muda ni. Padahal setahu aku ramai aje fanboys yang selama ni suka dengar imam, habib, ustaz, penceramah, pencetus memerli tanpa merujuk fakta. "Kenapa kau suka dengar ceramah ustaz tu?" "Sebab ustaz tu kelakar". Funny, aku ingatkan sebab ustaz tu berilmu.

Aku tak kata kalau kau orang tak belajar mengenai sesuatu benda, maka kau orang langsung tak boleh bercakap tentang benda itu. Boleh. Lihatlah kepada message yang disampaikan, bukan kepada messenger. Tapi bila kau orang lihat kepada message, jangan pula kau orang lupa pastikan bahawa message itu konsisten dengan fakta.

Masalahnya orang kita ni ada BUDAYA jangan "melawan cikgu". Cikgu tak maksum macam nabi. Ini bila datang seorang ustaz, kau orang jadikan dia subject matter expert untuk segala macam hal politik, ekonomi, biologi, kedukunan, sakit puan dan MLM. Ustaz tu dapat 'C' dalam STPM pun boleh buat degree Pengajian Islam kat UKM. Kalau pergi Al-Azhar, attendance pun tak ambil, kau orang pun tak tahu dia lulus ke tak. Balik Malaysia kau orang julang dia sebagai subject matter expert. Yang kau orang dapat 'A' sampai berbelas-belas, pergi Edinburgh pergi Dublin belajar medical, balik Malaysia kau panggil si ustaz pulak untuk bagi ceramah kat kau. Bila ustaz tu cakap salah fakta, kau takut-takut nak tegur sebab BUDAYA. Yang sebenarnya kau takut dijadikan bahan lawak ustaz kelakar. Maka berterusanlah kitaran jahil murakkab ni.

Aku ada jugak cek tentang ustaz kelakar ni. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda "Jangan banyakkan gelak, maka sesungguhnya gelak yang banyak mematikan hati." Hadis ini hadis sahih. Ada satu lagi hadis dalam Sunan Ibnu Majah yang matannya (teks) sebiji macam ni, tapi sanadnya (salasilah perawi) lain, hadis itupun bertaraf Hasan. Jadi sekarang ada dua hadis yang kata banyak gelak mematikan hati: satu hadis Sahih, satu hadis Hasan. Aku nak tanya ni, kau orang nak ikut Nabi atau nak ikut ustaz kelakar?

Boleh tak gelak sebenarnya ni? Aku cek lagi. Ada satu hadis riwayat Aisha r.a. "Apabila baginda melihat kepantasan mereka ke tempat berteduh, baginda ketawa sehingga menampakkan gigi-gigi belakang baginda". Abu Daud kata hadis ini gharib (asing), tapi sanadnya bagus. Jadi terpulang kepada kau orang. Yang aku cek Nabi tak banyak gelak, dan tak pulak gelak dalam masjid. Nabi dan sahabat menangis adalah.

Selain ustaz kelakar, sekarang dah ada ustaz menyanyi, ustaz Bollywood. Benda-benda ni zaman Rasulullah SAW takde. Jangan pula kau orang bagitau aku zaman Rasulullah banyak benda takde: kereta takde, filem Hindustan takde. Sebab sekarang ni aku tak cerita pasal kereta atau filem Hindustan, aku cerita pasal ustaz menyanyi. Zaman Rasulullah ada ustaz (cikgu) tak? Ada. Habis tu kenapa takde ustaz menyanyi?

Bukan setakat zaman Rasulullah, zaman sekarang kat Mekah Madinah pun takde ustaz menyanyi.

Oleh sebab itulah daripada pemerhatian aku yang hina ni, aku syak benda-benda ni lahir daripada BUDAYA orang kita yang suka berhibur. Untuk menjustifikasikan benda-benda ni, maka segala macam alasan akan muncul "Biasalah bang, dengar kuliah boring, kenalah ada benda untuk tarik minat"; "Kecohlah brader, kau dengar lagu The Chainsmokers boleh, ustaz ni menyanyi sikit atas tujuan berdakwah tak boleh!". Kau tengok: ini namanya menyesuaikan agama untuk nafsu, dan bukannya nafsu yang disesuaikan untuk agama. Aku perhatikan dah ada label untuk orang macam ini, iaitu 'penunggang agama'.

Selain daripada BUDAYA suka nak berhibur, orang kita juga suka dengar cerita. Pasal itu dulu-dulu ada penglipurlara datang ke kampung-kampung, rumah-rumah. Sekarang, masyaAllah, penglipurlara masuk ke rumah-rumah Allah pula, iaitu masjid-masjid dan surau-surau. Lagi advanced. Kenapa aku panggil penglipurlara? Sebab ceramah dia 95% bercerita, 5% ilmu. Modus operandi ialah dia akan duduk, buka kitab, baca doa sikit, baca tajuk bab, kemudian boom freestyle cerita politik, menyanyi, lawak selak kain sikit-sikit, gelak-gelak. Bila nak masuk waktu Isyak, dia akan patah balik ke kitab, baca satu hadis, satu ayat Quran, lepas tu tangguh majlis dengan tasbih kifarah. Bila kau balik rumah, kawan tanya "Apa yang kau belajar daripada ustaz tadi?". Kau jawab "Entah. Tapi dia kelakar la".

Satu benda lagi yang aku cek ialah berniaga dalam masjid. Pasal aku pernah pergi surau GLC terbesar di Malaysia. Aku tengok seorang ustaz bagi announcement "Saya ada bawa buku-buku, kalau tuan-tuan berminat boleh lihat di belakang". Aku pandang belakang, tengok ada seorang budak muda tengah jaga hamparan buku-buku untuk dijual. Budak tu memanglah duduk kat belakang, tapi masih dalam ruang solat. Setahu aku mana boleh berniaga dalam masjid. Jadi aku pun ceklah hadis: memang betul. Riwayat at-Tirmizi, sabda Rasulullah SAW “Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu”. Hadis ini hadis sahih. Yang aku pelik, GLC ni pekerja-pekerjanya ramai top-top student A plus belajar oversea. Bila balik Malaysia, kau jemput ustaz ni berceramah kat surau kau, bila ustaz ni buat salah kau tak pulak tegur. Maka berterusanlah lagi kitaran jahil murakkab ni.

Kau orang pernah tegur ustaz? Aku pernah. Ada seorang ustaz ni mengajar subjek TITAS kat universiti masa aku buat first degree aku. Tengah mengajar tu, boleh pulak dia kata dekat tornado ada muka setan. Terperanjat aku. "Ada bukti gambar" kata dia. Terus aku angkat tangan, aku cakap aku pernah nampak gambar tu keluar suratkhabat tempatan, dan gambar tu sebenarnya dikutip daripada tabloid penipu US, National Enquirer. Tiba-tiba ada sorang lagi classmate aku perempuan mengiyakan cakap aku. Terdiam ustaz tu. Tengok: kalau kau amalkan BUDAYA tak "melawan cikgu", dan tak "mengaji dari kitab" mesti kau tak tahu benda ni daripada National Enquirer kan? Ini aku cerita ni tentang ustaz yang mengajar dalam kelas universiti ni. Kalau ustaz kat kampung?

Jangan sampai mati berjemaah sebab tak ambil vaksin difteria sudah. Kau orang nilailah fakta dengan pemikiran yang objektif, dan ingat: zaman sekarang ni dah takda manusia yang maksum

kredit : facebook.com/RimauXI/posts/1006188799477802