Ingat 2 perkara dan Lupakan 2 perkara


2 Perkara yang perlu kita ingat :

1- Kebaikan orang kepada kita hendaklah selalu diingat. Orang yang pernah menolong kita dengan nasihat, wang ringgit, tenaga dan sebagainya perlu diingat. Jika boleh, dibalas dengan budi yang setimpal atau lebih. Ini akan menyebabkan kita mudah menjadi orang yang pemaaf kerana merasakan kebaikan orang lain melebihi kesalahannya. Lebih-lebih lagi nikmat Allah kepada kita perlu disyukuri, perlu selalu diingat dan disebut-sebut sebagai tanda kesyukuran dengan lidah dan hati. Firman Allah yang bermaksud "Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur)" (Surah ad-Dhuha : 11)


2- Hendaklah sentiasa ingat kesalahan kita kepada orang lain agar terdorong kita untuk meminta maaf. Inilah yang akan membuahkan kasih sayang sesama manusia kerana Allah. Berazamlah untuk tidak mengulangi kesalahan seperti itu lagi. Lebih perlu kita mengingati dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah. Ini akan menimbulkan rasa insaf, takut, menyesal yang akhirnya mendorong kita bertaubat kepada Allah. Ingatlah, bahawa dosa yang menyebabkan kita menangis lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur

2 Perkara yang perlu kita lupa :

1- Jangan sekali-kali mengungkit jasa dan kebaikan kita kepada orang lain. Hakikatnya kita hanya menjadi wasilah kepada nikmat Allah yang hendak diberikanNya kepada manusia lain. Sikap mengenang dan mengungkit kebaikan diri ini akan membatalkan amal. Jadi, apabila kita membuat kebaikan kepada orang lain, cuba rasakan seolah-olah kita tidak pernah berbuat baik kepadanya. Lebih-lebih lagi, perkara yang perlu kita lupakan adalah segala amal ibadah yang telah kita lakukan kepada Allah. Perbuatan mengingati ibadah yang telah dikerjakan hanya akan mencalar keikhlasan. Sedangkan segala-galanya dilakukan atas hidayah Allah jua. Oleh sebab itu, setelah beramal rasakan seolah-olah kita tidak beramal. Dengan itu kita akan selamat daripada rasa ujub, sum'ah, riyak atau bangga diri


2- Anggaplah seolah-olah tidak ada sesiapa yang bersalah dengan kita. Ini akan membantu kita mengawal rasa marah dan dendam. Kita hanya hamba Allah, bukan tuan lebih-lebih lagi Tuhan dalam kehidupan ini. Jadi, apabila hamba Allah yang lain melakukan kesalahan kepada kita anggaplah kita layak untuk disakiti kerana kita hanya hamba Allah. Lebih-lebih lagi yang perlu kita lupakan adalah segala kesusahan, ujian, musibah atau malapetaka yang Allah timpakan. Sedarlah bahawa, kesakitan, kematian, kerugian, kemalangan, kegagalan dan malapetaka alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau, ribut taufan, tsunami, wabak penyakit, kemelesetan ekonomi dan sebagainya itu hanya mehnah daripada Allah untuk memujuk manusia kembali kepadaNya

No comments: