22 Sep 2015

Cerita Lawak

Sebenarnya aku tak pernah berniat nak jadi jahat. Masa sekolah dulu aku pernah bercita-cita nak menjadi anggota polis. Nak tangkap orang jahat. Tak sangka pulak, bila dah besar terbalik pulak jadinya. Polis nak tangkap aku. Kenapa aku jadi jahat? Jangan nak salahkan aku saja. Bukan saja-saja aku nak jadi jahat. Aku terpaksa. Keadaan memaksa aku menjadi jahat. Tapi aku tahu para pembaca yang dihormati sekalian tak percaya. Baiklah, aku akan ceritakan bagaimana watak aku yang baik berubah menjadi seorang yang lebih jahat daripada harimau kumbang. Aku nak semua orang tahu, apa yang telah aku lakukan bukan atas kerelaan hati. Kalau boleh aku tak mahu lakukan semua tu. Tapi apakan daya, aku sudah terlanjur ke dunia bergelumang dengan dosa.

Aku gagal dalam SPM menyebabkan aku menyandang title penganggur. Bukan salah aku. Aku telah cuba sedaya upaya. Apa nak buat kalau gagal juga. Bukannya aku main-main. Aku belajar bersungguh-sungguh tapi aku tak bernasib baik. Bila menganggur, masyarakat memandang serong. Bila berlaku kecurian, semua mata memandang aku. Seolah-olah aku ni teruk sangat. Lama-kelamaan kecurigaan bertukar menjadi tuduhan, tuduhan bertukar menjadi fitnah dan umpatan keji. Nak dijadikan cerita, kesabaran aku sudah tidak dapat dibendung lagi. Di kedamaian pagi, aku dengan marahnya telah menakik kepala Makcik Bedah. Puncanya makcik Bedah menuduh aku mencuri ayam serama

Ditohmahnya aku jual ayam serama itu untuk membeli dadah. Tak cukup dengan itu, Makcik Bedah menyebarkan dakyah kononnya selama ini aku suka kacau anak-anak dara kampung

Di kedamaian pagi itu, seluruh jiran tetangga tergamam dan tercengang melihat kemarahan aku. Selama ini aku diam saja. Bila aku marah, barulah mereka tahu siapa aku sebenarnya. Makcik Bedah berteriak tangis bila kepalanya aku takik. Puas hati aku. Jiran tetangga berkejar untuk memberikan bantuan pertolongan cemas. Tak ada sesiapa yang berani membela Makcik Bedah. Barangkali mereka semua ketakutan.

Makcik Bedah diusung ke hospital dengan garfu tercucuk diatas kepalanya. Aku puas hati. Tak sempat aku nak ambil parang, dapat takik dengan garfu pun jadilah. Ia sudah cukup untuk memuaskan hati aku.

Malamnya polis datang menangkap aku. Aku dibawa ke balai polis. Tak lama kemudian aku dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara. Bila aku masuk penjara, aku berkawan dengan orang-orang yang betul-betul jahat. Mereka memaksa aku mengikut mereka. Tapi aku tak mahu. Walaupun aku telah melanggar undang-undang tetapi tak bermakna aku seorang yang jahat.

Setelah dibebaskan, orang-orang kampung memulau aku. Tak ada sesiapa nak bertegur sapa dengan aku. Bila aku masuk kedai nak beli barang, takda siapa nak layan. Masuk warung pun begitu juga. Tak ada siapa nak tanya aku nak minum apa. Pendek kata aku bukan lagi dianggap sebagai orang tapi menyamai seekor kambing.

Begitulah taraf aku dimata mereka. Untuk menghilangkan kesunyian terpaksalah aku berkawan dengan lembu dan kambing. Berbual-bual dengan mereka tentang pelbagai topik termasuk isu ekonomi negara dan politik.

Makcik Bedah masih berdendam dengan aku. Pelbagai cerita tak elok tentang aku dia canang kepada penduduk kampung. Nampaknya Makcik bedah belum serik. dah kena takik pun masih nak mencari pasal. sekali lagi aku marah. Kali ini kemarahan aku jadi lebih parah.

Garfu tidak dapat menginsafkan Makcik Bedah. Barangkali garfu kecik sangat. Jadi aku bawak lembing pusaka arwah datuk yang berbalut kain kuning. Datuk aku bekas pengawal istana. Dan lembing itu ialah pusaka buat waris dari turun-temurun. Sewaktu sampai di rumah Makcik Bedah, hari dah nak malam. Aku terus menyerbu masuk ke rumah Makcik Bedah tanpa memberi salam.

Tanpa memberi amaran terlebih dahulu, aku terus menakik kepala Makcik Bedah sekali lagi.

"Aduh! sakitnya kepala aku..!" jerit Makcik Bedah sebelum pengsan.

Suami Makcik Bedah pulak terus pitam. Apalah punya jantan. Aku pun blah. Malas nak tunggu lama-lama. Waktu tu barulah aku takut. Aku dah bunuh orang. Dalam fikiran aku, kepala otak ligat berfikir. Kalau aku kena tangkap, aku akan dijatuhkan hukuman mati mandatori. Aku belum nak mati. Aku nak hidup lagi.

Tak ada jalan lain. Aku kena lari. Sebelum polis datang cekup, adalah lebih baik aku melarikan diri. Tapi nak pergi ke mana?Dimana-mana pun ada polis. Disana polis, di sini polis. Tak ada tempat yang tak ada polis kecuali dalam hutan. Akhirnya kau mengambil keputusan untuk menjadi seperti orang utan. Aku duduk dalam hutan. Masalahnya pulak aku tak dapat makan nasik. roti canai jauh sekali. Dua bulan saja aku dapat bertahan. Akhirnya aku keluar dari hutan.

Dalam hutan tak payah pakai duit. Bila dah keluar, nak makan. Nak beli makanan bukannya boleh pakai daun pisang. nak cari kerja bukan senang. Last-last aku mencuri. Mula-mula aku mencuri secara kecil-kecilan. sekadar untuk mengisi perut. lama kelamaan aku semakin berani. aku merompak pulak.

Yelah, aku nak jugak merasa hidup senang. Nak enjoy, nak masuk dangdut ke karaoke ke apa ke...Sekarang aku bergelar perompak yang dihormati oleh perompak lain. Sebabnya aku selalu bertindak seorang diri. Macam Zorro. Kira aku ni dahsyat la. Duit aku banyak, aku beli pistol untuk merompak dan menjaga keselamatan diri. Nasib baik kereta kebal tak ada jual, kalau tidak dah tentu aku beli dua tiga bijik.

Menjadi perompak bukannya mudah. Aku kena berwaspada selalu. Silap haribulan kena tembak dek polis. Tapi aku cekap. Bila aku dah terkenal, ramai perompak nak join aku. mereka lantik aku jadi ketua. Ketua perompak. Bangganya aku. Aku pun makin ganaslah.
Surat-surat khabar memuatkan cerita bagaimana ganasnya kumpulan aku. Aku dikehendaki polis samaada hidup atau mati. kalau ditangkap hidup-hidup pun hujungnya nanti aku tentu dikenakan hukuman mati. Sama je.

Kata orang-orang tua, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Seterer-terer aku akhirnya polis dapat menghidu jejak aku. Suatu hari kumpulan aku kena ambush. Aku tak mengaku kalah. Aku tembak, polis pun tembak. Lama kami saling tembak-menembak. Ngeri sungguh adegan itu

Last-last aku kena tembak kat kepala lutut. Sakit bukan main. Tak dapat la aku main bola lepas ni. Polis pun tangkap aku. nak buat macam mana lagi. terpaksalah aku menyerah diri. Setelah lutut aku ok, aku dihadapkan ke mahkamah. Sepanjang perbicaraan hanya sekali bapak datang. Itupun sekejap je. Menurut bapak aku, makcik Bedah masih hidup. Liat betul nyawa orang tua tu.

Sewaktu membela diri, tuan hakim memberi peluang untuk aku membuat rayuan. Aku tak mengaku salah. mati-mati aku membangkang bila aku dituduh melakukan kejahatan dengan sengaja.

"Habis kalau bukan kamu yang salah. salah siapa pulak?" tanya Tuan Hakim.

"Salah Makcik Bedah!" jawab aku tegas.

mahkamah menjadi hingar-bingar. Nama Makcik Bedah tidak pernah disebut sepanjang perbicaraan. Bila aku menyebut nama itu, semua orang menjadi terperanjat.

"Makcik Bedah yang patut dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau lebih lagi hukuman mati. Kalau Makcik Bedah tak mengata saya macam-macam, saya tak jadi orang jahat. Dalam hal ni, Makcik Bedah yang bersalah. Saya minta Tuan Hakim mendakwa Makcik Bedah."

Kemudian orang ramai ketawa. Tuan Hakim ikut sama tersenyum. Tak ada siapa yang percaya cakap aku. Tak ada siapa yang sependapat dengan aku.

Mereka tidak menyalahkan Makcik Bedah, padahal Makcik Bedah la yang bersalah.
Kemudian aku dijatuhkan hukuman mati. Subuh-subuh esok aku akan digantung. Tamatlah riwayat aku. Semua kerana makcik Bedah

Aku berharap kepada pembaca yang bersimpati, tolonglah aku. Tolonglah aku balas dendam pada Makcik Bedah. Kalau korang jumpa, takiklah kepala dia dengan sauh kapal sebab kalau senjata kecik-kecik Makcik Bedah tak mati punya..!

Tiada ulasan: